Monolog:Dan Cinta pun berputik - Bahagian 1

|



PROLOG

“Hakikat sesuatu perkara tidak akan difahami melainkan setelah ianya ditempuhi.
Ibarat buah durian. Andaikata seorang sahabat dari Malaysia cuba menggambarkan tentang buah durian kepada seorang sahabatnya dari Sweden:
“Durian ni isinya kuning. Bau kuat. Rasa sedap. Kalau makan banyak, badan rasa panas.”
“Erm...macam tu jer? Bunyi macam buah biasa jer, tak ada apa-apa yang istimewa pun! Ni ke raja segala buah??”
“Ok...macam ni. Bila buah durian dikopak, maka mengapunglah bau yang amat harum. Menusuk rongga bau dan membangkitkan deria rasa. Isinya lembut lagi basah-basah, berwarna kuning keemasan bak warna diraja. Bila disentuh lidah, maka nyatalah rasanya yang lemak-lemak manis. Lantas, hati pun jatuh dek kerana terpikat...bla..bla..bla”
“Wah...bunyi pun macam sedap. Baru padan dengan gelaran “raja buah” ! Tapi...saya masih tak faham apa itu kenikmatan rasa buah durian. Boleh terangkan? “
“... ... ...”
Akhirnya kawan dari Malaysia pun terdiam. Kehabisan frasa dan kata.
Tidak kira sehebat mana pun ayat yang digunakan untuk menggambarkan kelazatan dan kedahsyatan rasa buah durian, seseorang masih tidak akan betul-betul memahami apa itu “rasa durian” melainkan setelah dia sendiri yang memakannya.”
Tutup Google Chrome. Perlahan-lahan, kau tujukan cursor ke arah logo Window yang tertancap di taskbar, pada bahagian bawah skrin komputer. SHUTDOWN.
Pelik, engkau merasakan seolah-olah engkaulah “sahabat dari Sweden” yang dimaksudkan oleh pengarang artikel online tadi. Terlentang, engkau merenung kosong ke arah siling sambil merentangkan lengan di dahi. Berfikir dalam-dalam.
Hati terasa kosong. Kosong sekosong-kosongnya. Memeras akal, kau cuba membebaskan diri dari dibelenggu misteri itu yang cukup mencengkam.
“Mengapa aku masih terasa kosong, sedangkan aku melazimi majlis-majlis ilmu?”
“Adakah kurang pengisian? Masih tidak cukup lagi ke kuliah agama yang aku pergi?“ Persoalan semakin mengasak, menyesakkan dada, menepukan kotak fikir.
“Adakah hatiku telah... ...HILANG?”

*************************************************

Perjalanan terasa sukar. Peluh tidak berhenti mengucur keluar dari dahi, membasahkan jubah putih yang dipakai. Di atas, matahari memancarkan sinar tanpa belas. Langit yang hambar tanpa kehadiran awanan biru, menyebabkan matahari berleluasa menebarkan kepanasannya. Seluruh badan terasa pijar, ibarat terpanggang dalam ketuhar. Kau mengangkat pandanganmu. Padang pasir seluas mata memandang, ibarat dunia tanpa penghujung.
Di bawah terik matahari, badanmu yang lesu memaksa kaki yang longlai untuk terus melangkah. Matamu giat meninjau keadaan sekeliling, mungkin ada sebatang pokok untuk tumpang berteduh dan melepaskan lelah. Namun, tiada apa yang menangkap perhatianmu. Yang ada, hanyalah kaktus dan pokok renek tumbuh jarang. Selain itu, hanyalah pasir, pasir dan pasir lagi. Padang pasir yang tandus.
Sungguh perjalanan itu amat menduga iman. Apatah lagi jika ditempuhi bersendirian. Berkali-kali kau menegaskan, bahawa pilihan itu bukan kerana ego seorang lelaki, tetapi kerana muamalah. Muamalah secara langsung dengan Empunya batang tubuh. Orang lain tiada kaitan langsung dengan hal-ehwal muamalah tersebut. Lebih teruk, kehadiran mereka bisa merosakkan hasil urusan. Lantas, kau memilih untuk selesaikannya nafsi-nafsi.
Sesekali, angin padang pasir berhembus membawa bahang serta debu, lalu melekat pada jubah seraya mengeruhkan keputihannya. Kau merenung kesan tersebut, sambil berfikir:”Debu ini ibarat penyakit pada amalan. Ia lambang kotoran. Sedangkan Tuhan tidak menerima sesuatu pun dari hambaNya melainkan ianya bersih.” Begitulah realiti kehidupan. Kadang-kala seorang hamba menyangkakan dia sudah banyak beramal, tapi disebabkan “kotor” maka Tuhan tidak memandang langsung pada amal tersebut. “Na’uzubillahi min zalik” doa hatimu.
Mujurlah...kau bernasib baik kerana membawa Bekalan Ilmu. Bentuk topografi padang pasir yang membingungkan menyebabkan sesiapa yang tidak menjadikan Bekalan Ilmu sebagai nakhoda, akan sesat dan mungkin bertemu ajal di situ. Dengan Bekalan itulah kau akan keluar dari situ bersama Hati yang hilang. Ya, musafir itu kau tempuhi bagi mencari Hati yang HILANG.

************************************************************

Roll-on perfume dicalit pada jubah. Sambil berdiri di hadapan cermin, kau bertungkus-lumus mengikat serban kemas-kemas. “Biar nampak hensem malam ni...” kau bercakap sendirian sambil melirik senyuman pada cermin.
Malam itu merupakan malam yang penting bagimu. Seorang ulama’ besar yang mendapat gelar al-musnid dan al-allamah akan mengunjungi madrasah tuan guru. Mendengarkan pelbagai kisah hebat tentang ulama’ yang bakal hadir itu, kau berasa teruja untuk datang dan bersua muka dengan beliau. “Ulama seumpama beliau boleh dihitung dengan jari pada hari ini. Ulama yang cukup alim, cukup dalam ilmunya. Tok Wali ni...” Demikian ujar tuan guru dalam mengisahkan tentang ulama’ keturunan Rasulullah S.A.W tersebut.
Malam itu terasa luar biasa. Bintang bersinar cemerlang, bergemerlapan berterabur di serata kubah langit. Terang-benderang langit dibuatnya, walaupun kelibat sang rembulan tidak kelihatan di mana-mana penjuru langit. Seolah-olah bintang pun turut bergembira meraikan kedatangan ulama’ besar tersebut. Kedatangan yang pastinya membawa 1001 rahmat ke negeri penuh bersejarah itu beserta seluruh isi penduduknya.
Madrasah tuan guru dipadati rombongan manusia pada malam itu. Pelbagai ragam manusia kelihatan di mana-mana. Ada yang hadir dengan pakaian sunnah penuh, dengan serban terlilit rapi di kepala, selendang menghiasi bahu, serta jubah serba putih. Ada yang bergerak dalam kumpulan memakai pakaian hampir serupa, kemungkinan pelajar dari madrasah lain. Tidak kurang juga dengan yang membawa anak isteri, berjalan hati-hati berpimpinan tangan di celah lautan manusia. Ramai sungguh ramai. Dengar kata, ada yang sanggup hadir dari Johor dan Selangor semata-mata untuk menziarahi ulama’ besar tersebut. Masya Allah...
Alhamdulillah, ceramah pada malam itu tidak mengecewakanmu. Walaupun beliau bertutur dalam bahasa Arab dan menggunakan khidmat penterjemah, namun mesej penuh makna ulama’ tersebut telah berjaya menyentuh hati sekalian hadirin.  Isi ceramah beliau amat menginsafkan serta mengesankan di jiwa, lantas tidak kurang yang mencucurkan air mata tanpa segan-silu. Beberapa orang yang duduk di hadapanmu dengan perawakan golongan agamawan, pada telahanmu mungkin ustaz ataupun tuan guru pondok, kelihatan menangis teresak-esak mendengar pesan dan nasihat dari ulama’ yang alim tersebut, sehingga basah janggut mereka dek siraman air mata.
Alhamdulillah, hatimu puas pada malam itu.

************************************************************

Matahari terasa ibarat sejengkal daripada kepala, menyejat segala kandungan air dalam badan hatta air dalam tekak sekalipun. Peluh sudah tidak sudi keluar, apakan daya, kerana badan sudah kering.
Kau mencapai Bekalan yang kau sandang lalu mengambil Botol Tabah. Dalam situasi ini, air dingin lebih berharga berbanding jongkong emas. Dunia tampak ibarat sampah dan nyawa adalah segala-galanya. Kau cukup faham dengan realiti yang sedang berlangsung. “Ya Allah, tabahkanlah diriku menghadapi ujian yang Kau campakkan ni...”
Malangnya, hanya beberapa titis air yang berbaki dalam Botol. Dengan jumlah yang begitu sedikit, mustahil tekakmu dapat basah. Apatah lagi untuk menghilangkan dahaga. Kecewa, kau mula dirudum rasa putus asa. Ketabahan yang mula terhakis sedikit demi sedikit menyebabkan kakimu bertambah degil untuk melangkah. Badanmu mula terhuyung-hayang.
“Ya Allah, tabahkanlah diriku...tabahkanlah diriku...”
Pandangan bertambah kabur. Kepala terasa berpinar-pinar, berpusing-pusing...dan..bamm!! Wajahmu tersembam atas pasir. Buat seketika, dunia menjadi gelap-gelita.

*************************************************

Entah mengapa, kebelakangan ini kau terasa kosong. Ibarat sesuatu telah tercicir ataupun mungkin dirampas daripadamu. Kekosongan itu bertambah ketara apabila kau duduk keseorangan, lalu termenung tanpa sebarang kerja untuk dilakukan. Perasaan kosong itu hadir menguasai diri apabila kesibukan berlalu pergi.
Memang kau masih boleh tertawa riang, tapi Tuhan sahaja yang Maha Tahu betapa tidak berertinya kesemua itu. Bukan berlakon dan bukan hipokrit, tapi bagimu itu sajalah cara yang ada. Hidup mesti ceria, kalau asyik bermuram durja pasti jatuh sakit. Kalau terlalu dilayankan perasaan kosong itu, nescaya orang akan menuduh kau gila kerana duduk meminggirkan diri.
Kehidupan di kolej kediaman baharu memang bahagia. Senyap & dikelilingi hutan belukar separa tebal. Udara segar menyelaputi atmosfera, menyebabkan kau terasa seolah-olah berada di kampung. Memang benarlah kawasan itu baru diterokai. Bangunan & infrastruktur serba kekurangan. Masjid kariah yang terdekat pun mengambil masa 20 minit perjalanan kaki. Kolej kediaman sahabatmu pula berbatu jauhnya, lantas menyebabkan mereka jarang-jarang menziarahimu. Di tempat baru itu, kau berasa dipinggirkan.
Kosong.
Petang itu, kau hanya sekadar terlentang atas katil merenung ke arah siling. Laptop di sisi telah lama padam. Artikel online yang dibaca tadi memang memberi impak kepada jiwa. Kau sebenarnya banyak kerja waktu itu, tapi kau merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan masalah itu. Jauh di lubuk hati, kau berazam untuk mencari ubat. Kau tahu kau tidak boleh berlengah lagi, kerana kekosongan itu terasa semakin menyeksa, hari demi hari.

****************************************************

Tanpa disangka, ustaz mendatangi mimpimu pada malam itu.  Sudah hampir 2 tahun kau tidak berjumpa beliau, lantas membuahkan rindu terpendam yang amat dahsyat. Lama benar kau tidak menatap wajahnya, semenjak kau berpindah ke tempat lain bagi mengejar segulung ijazah.
Tempat itu tidak kau kenali. Pada hematmu, mungkin sebuah sekolah pondok. Kelihatan ragam beberapa pelajar sedang tekun menghafaz Quran di dalam. Mereka semua tidak menyedari kehadiranmu. Ustaz itu yang tersenyum indah, mampir lalu mendakapmu erat di pintu gerbang sekolah pondok tersebut. Terasa ingin dilepaskan kerinduan yang tersimpan sekian lama. Apatah lagi dengan hati yang memberontak, meronta ganas meminta walau secebis siraman ilmu hikmah, menjadikan pertemuan senja itu sungguh dramatik. Pertemuan antara anak murid dengan tuan guru yang lama terpisah.
Kau masih ingat lagi, betapa kau mengasihi ustaz tersebut kerana curahan ilmu beliau. Ustaz tersebut tidak jemu-jemu melayan pertanyaan yang kau ajukan, malah sentiasa tenang & bersahaja menyuapkan ilmu. Kau pula, pada masa itu ibarat anak yang kebuluran, sentiasa merengek meminta ilmu agama.

***********************************************************************

“Allahuakbar Allahuakbar...” azan berkumandang dari surau, mengingatkan waktu solat sudah masuk. Kebiasaannya, kau sudah terpacak di surau pada waktu sebegini. Beberapa sahabat daripada jemaah Tabligh yang “menginap” di bahagian belakang surau kelihatan bergegas ke bilik wuduk untuk mengangkat hadas kecil. Tidak lama kemudian, seorang demi seorang sahabat mula sampai ke surau. Matamu sejuk memandang redha pada kedatangan mereka, manakan tidak, solat berjemaah di surau ataupun masjid merupakan suatu perkara yang dipandang berat oleh Rasulullah S.A.W. “Umat Islam mesti bersatu,”bisik hatimu.
Dalam waktu sebeginilah juga, kau dapat melihat kelibat ustaz itu, melangkah deras dari apartment pensyarah menuju ke surau. Pakaiannya yang sentiasa konsisten, iaitu kurta, kain pelikat & serban menjadikan ustaz itu dikenali kerana trademark tersebut. Kau akan berdiri, memberi salam serta mengucup tangan beliau sebaik sahaja beliau menjejakkan kaki di surau. Itulah lambang kasih & hormat engkau kepada insan bergelar pendidik tersebut.
Usai solat fardu & dua rakaat solat sunat Ba’diah, kau akan mencari ustaz itu lalu mengemukakan persoalan yang terbuku di hati. Kadang-kadang soalan itu memang bodoh sehingga kau berasa segan untuk bertanya, akan tetapi, bodoh sombong jauh lebih teruk justeru kau gagahi jua. Demikianlah rutin kau sepanjang pembelajaranmu di sana.
Tempoh setahun berlalu pergi ibarat kilat. Terasa seperti baru semalam kau mendaftar di tempat pengajian itu. Akhirnya waktu sedih pun tiba. Perpisahan memang melukakan hati namun terpaksa diterima. Entah berapa kali pipimu basah mengucapkan “Selamat Tinggal” kepada sahabat-sahabat yang pulang seorang demi seorang. Kesedihan bertambah teruk ketika melafazkan  perpisahan kepada ustaz-ustaz yang banyak membimbingmu.
Sebak. Bingung. Hilang arah. Kau tidak tahu siapakah lagi yang akan sudi menuntun tanganmu selepas ini. Ibarat si buta yang kehilangan tongkat. Sudahlah dunia gelap tanpa nur, kemudian tongkat pula hilang. Apalah nasib?

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB