PROLOG
“Hakikat
sesuatu perkara tidak akan difahami melainkan setelah ianya ditempuhi.
Ibarat
buah durian. Andaikata seorang sahabat dari Malaysia cuba menggambarkan tentang
buah durian kepada seorang sahabatnya dari Sweden:
“Durian
ni isinya kuning. Bau kuat. Rasa sedap. Kalau makan banyak, badan rasa panas.”
“Erm...macam
tu jer? Bunyi macam buah biasa jer, tak ada apa-apa yang istimewa pun! Ni ke
raja segala buah??”
“Ok...macam
ni. Bila buah durian dikopak, maka mengapunglah bau yang amat harum. Menusuk
rongga bau dan membangkitkan deria rasa. Isinya lembut lagi basah-basah,
berwarna kuning keemasan bak warna diraja. Bila disentuh lidah, maka nyatalah
rasanya yang lemak-lemak manis. Lantas, hati pun jatuh dek kerana terpikat...bla..bla..bla”
“Wah...bunyi
pun macam sedap. Baru padan dengan gelaran “raja buah” ! Tapi...saya masih tak
faham apa itu kenikmatan rasa buah durian. Boleh terangkan? “
“...
... ...”
Akhirnya
kawan dari Malaysia pun terdiam. Kehabisan frasa dan kata.
Tidak
kira sehebat mana pun ayat yang digunakan untuk menggambarkan kelazatan dan
kedahsyatan rasa buah durian, seseorang masih tidak akan betul-betul memahami
apa itu “rasa durian” melainkan setelah dia sendiri yang memakannya.”
Tutup Google Chrome. Perlahan-lahan, kau
tujukan cursor ke arah logo Window yang tertancap di taskbar, pada bahagian bawah skrin
komputer. SHUTDOWN.
Pelik, engkau merasakan seolah-olah
engkaulah “sahabat dari Sweden” yang dimaksudkan oleh pengarang artikel online tadi. Terlentang, engkau merenung
kosong ke arah siling sambil merentangkan lengan di dahi. Berfikir dalam-dalam.
Hati terasa kosong. Kosong sekosong-kosongnya.
Memeras akal, kau cuba membebaskan diri dari dibelenggu misteri itu yang cukup
mencengkam.
“Mengapa aku masih terasa kosong, sedangkan
aku melazimi majlis-majlis ilmu?”
“Adakah kurang pengisian? Masih tidak cukup
lagi ke kuliah agama yang aku pergi?“ Persoalan semakin mengasak, menyesakkan
dada, menepukan kotak fikir.
“Adakah hatiku telah... ...HILANG?”
*************************************************
Perjalanan terasa sukar. Peluh tidak
berhenti mengucur keluar dari dahi, membasahkan jubah putih yang dipakai. Di atas,
matahari memancarkan sinar tanpa belas. Langit yang hambar tanpa kehadiran
awanan biru, menyebabkan matahari berleluasa menebarkan kepanasannya. Seluruh
badan terasa pijar, ibarat terpanggang dalam ketuhar. Kau mengangkat pandanganmu.
Padang pasir seluas mata memandang, ibarat dunia tanpa penghujung.
Di bawah terik matahari, badanmu yang lesu
memaksa kaki yang longlai untuk terus melangkah. Matamu giat meninjau keadaan
sekeliling, mungkin ada sebatang pokok untuk tumpang berteduh dan melepaskan
lelah. Namun, tiada apa yang menangkap perhatianmu. Yang ada, hanyalah kaktus
dan pokok renek tumbuh jarang. Selain itu, hanyalah pasir, pasir dan pasir
lagi. Padang pasir yang tandus.
Sungguh perjalanan itu amat menduga iman.
Apatah lagi jika ditempuhi bersendirian. Berkali-kali kau menegaskan, bahawa
pilihan itu bukan kerana ego seorang lelaki, tetapi kerana muamalah. Muamalah
secara langsung dengan Empunya batang tubuh. Orang lain tiada kaitan langsung
dengan hal-ehwal muamalah tersebut. Lebih teruk, kehadiran mereka bisa merosakkan
hasil urusan. Lantas, kau memilih untuk selesaikannya nafsi-nafsi.
Sesekali, angin padang pasir berhembus
membawa bahang serta debu, lalu melekat pada jubah seraya mengeruhkan
keputihannya. Kau merenung kesan tersebut, sambil berfikir:”Debu ini ibarat
penyakit pada amalan. Ia lambang kotoran. Sedangkan Tuhan tidak menerima
sesuatu pun dari hambaNya melainkan ianya bersih.” Begitulah realiti kehidupan.
Kadang-kala seorang hamba menyangkakan dia sudah banyak beramal, tapi
disebabkan “kotor” maka Tuhan tidak memandang langsung pada amal tersebut. “Na’uzubillahi
min zalik” doa hatimu.
Mujurlah...kau bernasib baik kerana membawa
Bekalan Ilmu. Bentuk topografi padang pasir yang membingungkan menyebabkan
sesiapa yang tidak menjadikan Bekalan Ilmu sebagai nakhoda, akan sesat dan
mungkin bertemu ajal di situ. Dengan Bekalan itulah kau akan keluar dari situ
bersama Hati yang hilang. Ya, musafir itu kau tempuhi bagi mencari Hati yang
HILANG.
************************************************************
Roll-on
perfume dicalit pada jubah. Sambil berdiri di
hadapan cermin, kau bertungkus-lumus mengikat serban kemas-kemas. “Biar nampak
hensem malam ni...” kau bercakap sendirian sambil melirik senyuman pada cermin.
Malam itu merupakan malam yang penting
bagimu. Seorang ulama’ besar yang mendapat gelar al-musnid dan al-allamah akan mengunjungi
madrasah tuan guru. Mendengarkan pelbagai kisah hebat tentang ulama’ yang bakal
hadir itu, kau berasa teruja untuk datang dan bersua muka dengan beliau. “Ulama seumpama beliau boleh dihitung dengan
jari pada hari ini. Ulama yang cukup alim, cukup dalam ilmunya. Tok Wali ni...”
Demikian ujar tuan guru dalam mengisahkan tentang ulama’ keturunan Rasulullah
S.A.W tersebut.
Malam itu terasa luar biasa. Bintang
bersinar cemerlang, bergemerlapan berterabur di serata kubah langit.
Terang-benderang langit dibuatnya, walaupun kelibat sang rembulan tidak
kelihatan di mana-mana penjuru langit. Seolah-olah bintang pun turut bergembira
meraikan kedatangan ulama’ besar tersebut. Kedatangan yang pastinya membawa
1001 rahmat ke negeri penuh bersejarah itu beserta seluruh isi penduduknya.
Madrasah tuan guru dipadati rombongan
manusia pada malam itu. Pelbagai ragam manusia kelihatan di mana-mana. Ada yang
hadir dengan pakaian sunnah penuh, dengan serban terlilit rapi di kepala,
selendang menghiasi bahu, serta jubah serba putih. Ada yang bergerak dalam
kumpulan memakai pakaian hampir serupa, kemungkinan pelajar dari madrasah lain.
Tidak kurang juga dengan yang membawa anak isteri, berjalan hati-hati berpimpinan
tangan di celah lautan manusia. Ramai sungguh ramai. Dengar kata, ada yang
sanggup hadir dari Johor dan Selangor semata-mata untuk menziarahi ulama’ besar
tersebut. Masya Allah...
Alhamdulillah, ceramah pada malam itu tidak
mengecewakanmu. Walaupun beliau bertutur dalam bahasa Arab dan menggunakan
khidmat penterjemah, namun mesej penuh makna ulama’ tersebut telah berjaya menyentuh
hati sekalian hadirin. Isi ceramah
beliau amat menginsafkan serta mengesankan di jiwa, lantas tidak kurang yang
mencucurkan air mata tanpa segan-silu. Beberapa orang yang duduk di hadapanmu
dengan perawakan golongan agamawan, pada telahanmu mungkin ustaz ataupun tuan
guru pondok, kelihatan menangis teresak-esak mendengar pesan dan nasihat dari
ulama’ yang alim tersebut, sehingga basah janggut mereka dek siraman air mata.
Alhamdulillah, hatimu puas pada malam itu.
************************************************************
Matahari terasa ibarat sejengkal daripada
kepala, menyejat segala kandungan air dalam badan hatta air dalam tekak
sekalipun. Peluh sudah tidak sudi keluar, apakan daya, kerana badan sudah
kering.
Kau mencapai Bekalan yang kau sandang lalu mengambil
Botol Tabah. Dalam situasi ini, air dingin lebih berharga berbanding jongkong
emas. Dunia tampak ibarat sampah dan nyawa adalah segala-galanya. Kau cukup
faham dengan realiti yang sedang berlangsung. “Ya Allah, tabahkanlah diriku
menghadapi ujian yang Kau campakkan ni...”
Malangnya, hanya beberapa titis air yang
berbaki dalam Botol. Dengan jumlah yang begitu sedikit, mustahil tekakmu dapat
basah. Apatah lagi untuk menghilangkan dahaga. Kecewa, kau mula dirudum rasa
putus asa. Ketabahan yang mula terhakis sedikit demi sedikit menyebabkan kakimu
bertambah degil untuk melangkah. Badanmu mula terhuyung-hayang.
“Ya Allah, tabahkanlah diriku...tabahkanlah
diriku...”
Pandangan bertambah kabur. Kepala terasa
berpinar-pinar, berpusing-pusing...dan..bamm!! Wajahmu tersembam atas pasir.
Buat seketika, dunia menjadi gelap-gelita.
*************************************************
Entah mengapa, kebelakangan ini kau terasa
kosong. Ibarat sesuatu telah tercicir ataupun mungkin dirampas daripadamu. Kekosongan
itu bertambah ketara apabila kau duduk keseorangan, lalu termenung tanpa
sebarang kerja untuk dilakukan. Perasaan kosong itu hadir menguasai diri apabila
kesibukan berlalu pergi.
Memang kau masih boleh tertawa riang, tapi
Tuhan sahaja yang Maha Tahu betapa tidak berertinya kesemua itu. Bukan berlakon
dan bukan hipokrit, tapi bagimu itu sajalah cara yang ada. Hidup mesti ceria,
kalau asyik bermuram durja pasti jatuh sakit. Kalau terlalu dilayankan perasaan
kosong itu, nescaya orang akan menuduh kau gila kerana duduk meminggirkan diri.
Kehidupan di kolej kediaman baharu memang
bahagia. Senyap & dikelilingi hutan belukar separa tebal. Udara segar menyelaputi
atmosfera, menyebabkan kau terasa seolah-olah berada di kampung. Memang
benarlah kawasan itu baru diterokai. Bangunan & infrastruktur serba
kekurangan. Masjid kariah yang terdekat pun mengambil masa 20 minit perjalanan
kaki. Kolej kediaman sahabatmu pula berbatu jauhnya, lantas menyebabkan mereka
jarang-jarang menziarahimu. Di tempat baru itu, kau berasa dipinggirkan.
Kosong.
Petang itu, kau hanya sekadar terlentang atas
katil merenung ke arah siling. Laptop di sisi telah lama padam. Artikel online
yang dibaca tadi memang memberi impak kepada jiwa. Kau sebenarnya banyak kerja
waktu itu, tapi kau merasakan bahawa sudah tiba masanya untuk menyelesaikan
masalah itu. Jauh di lubuk hati, kau berazam untuk mencari ubat. Kau tahu kau
tidak boleh berlengah lagi, kerana kekosongan itu terasa semakin menyeksa, hari
demi hari.
****************************************************
Tanpa disangka, ustaz mendatangi mimpimu
pada malam itu. Sudah hampir 2 tahun kau
tidak berjumpa beliau, lantas membuahkan rindu terpendam yang amat dahsyat. Lama
benar kau tidak menatap wajahnya, semenjak kau berpindah ke tempat lain bagi
mengejar segulung ijazah.
Tempat itu tidak kau kenali. Pada hematmu,
mungkin sebuah sekolah pondok. Kelihatan ragam beberapa pelajar sedang tekun
menghafaz Quran di dalam. Mereka semua tidak menyedari kehadiranmu. Ustaz itu
yang tersenyum indah, mampir lalu mendakapmu erat di pintu gerbang sekolah
pondok tersebut. Terasa ingin dilepaskan kerinduan yang tersimpan sekian lama.
Apatah lagi dengan hati yang memberontak, meronta ganas meminta walau secebis
siraman ilmu hikmah, menjadikan pertemuan senja itu sungguh dramatik. Pertemuan
antara anak murid dengan tuan guru yang lama terpisah.
Kau masih ingat lagi, betapa kau mengasihi
ustaz tersebut kerana curahan ilmu beliau. Ustaz tersebut tidak jemu-jemu
melayan pertanyaan yang kau ajukan, malah sentiasa tenang & bersahaja
menyuapkan ilmu. Kau pula, pada masa itu ibarat anak yang kebuluran, sentiasa
merengek meminta ilmu agama.
***********************************************************************
“Allahuakbar Allahuakbar...” azan
berkumandang dari surau, mengingatkan waktu solat sudah masuk. Kebiasaannya,
kau sudah terpacak di surau pada waktu sebegini. Beberapa sahabat daripada
jemaah Tabligh yang “menginap” di bahagian belakang surau kelihatan bergegas ke
bilik wuduk untuk mengangkat hadas kecil. Tidak lama kemudian, seorang demi
seorang sahabat mula sampai ke surau. Matamu sejuk memandang redha pada
kedatangan mereka, manakan tidak, solat berjemaah di surau ataupun masjid
merupakan suatu perkara yang dipandang berat oleh Rasulullah S.A.W. “Umat Islam
mesti bersatu,”bisik hatimu.
Dalam waktu sebeginilah juga, kau dapat
melihat kelibat ustaz itu, melangkah deras dari apartment pensyarah menuju ke
surau. Pakaiannya yang sentiasa konsisten, iaitu kurta, kain pelikat &
serban menjadikan ustaz itu dikenali kerana trademark
tersebut. Kau akan berdiri, memberi salam serta mengucup tangan beliau sebaik
sahaja beliau menjejakkan kaki di surau. Itulah lambang kasih & hormat
engkau kepada insan bergelar pendidik tersebut.
Usai solat fardu & dua rakaat solat
sunat Ba’diah, kau akan mencari ustaz itu lalu mengemukakan persoalan yang
terbuku di hati. Kadang-kadang soalan itu memang bodoh sehingga kau berasa
segan untuk bertanya, akan tetapi, bodoh sombong jauh lebih teruk justeru kau
gagahi jua. Demikianlah rutin kau sepanjang pembelajaranmu di sana.
Tempoh setahun berlalu pergi ibarat kilat.
Terasa seperti baru semalam kau mendaftar di tempat pengajian itu. Akhirnya
waktu sedih pun tiba. Perpisahan memang melukakan hati namun terpaksa diterima.
Entah berapa kali pipimu basah mengucapkan “Selamat Tinggal” kepada
sahabat-sahabat yang pulang seorang demi seorang. Kesedihan bertambah teruk
ketika melafazkan perpisahan kepada ustaz-ustaz
yang banyak membimbingmu.
Sebak. Bingung. Hilang arah. Kau tidak tahu
siapakah lagi yang akan sudi menuntun tanganmu selepas ini. Ibarat si buta yang
kehilangan tongkat. Sudahlah dunia gelap tanpa nur, kemudian tongkat pula
hilang. Apalah nasib?
0 ulasan:
Catat Ulasan