Monolog:: Ahbabus Solawat

|

Allahumma Solli wa Sallim wa Baarik ‘Alaih...

Ahli kumpulan menyahut. Hampir serentak. Bergema suara bergegar seisi bilik dengan lantunan selawat. ‘Ya Nabi Salam Alaika...’ suara vokalis kumpulan bergema di hujung corong pembesar suara. Satu persatu ahli kumpulan berdiri. Beberapa hadirin dalam majlis turut berbuat perkara yang sama. Sebahagiannya kelihatan gamam, tertanya-tanya apakah yang sedang berlaku.

Qasidah Mahal Qiam. Susunan bait indah yang mengalu-alukan kehadiran al-Mustofa Muhammad S.A.W ke alam maya. Para hadirin berdiri, sebagai suatu simbolik rasa hormat terhadap kedatangan junjungan besar S.A.W. Pernah engkau terdengar cerita akan seorang yang enggan berdiri menghormati Rasulullah ketika Mahal Qiam berlangsung. Tidak semena-mena, dia lumpuh. Pelik lagi ajaib! Setelah taubat diucapkan, dengan nikmat Allah dia mampu berdiri kembali. Sejak hari itu, dia tidak pernah ketinggalan untuk berdiri sewaktu Mahal Qiam berlangsung. Marhaban Ya Rasulallah !!

Tabla Turki memulakan rentak. Bunyi nyaring ketukan Darbuka, primary bass dari paluan gendang, secondary bass dari pukulan Djembe moden serta hayunan tambourine menyusuli kemudian. Gabungan elemen bass hinggalah ke treble mencipta irama yang mengkagumkan.

Ternyata vokalis kumpulan yang merupakan bekas wakil tilawah al-Quran peringkat negeri bijak memainkan suara. Gaya taranum menyerikan rangkap demi rangkap qasidah yang dinyanyikan. Sejurus kemudian, ahli kumpulan yang berperanan sebagai suara latar mendendangkan korus beramai-ramai. Sesekali telingamu menangkap suara nyaring kanak-kanak. Sungguh, suara high-pitch mereka lebih menonjol berbanding vokal middle-tone orang dewasa. Biarpun dalam jumlah yang kecil, akan tetapi suara mereka lebih didengari berbanding ahli kumpulan dewasa yang lain. Kelihatan sebahagian ahli kumpulan mula tenggelam dalam keasyikan berselawat. Asyik sungguh asyik dengan Cinta.

Maulid Dibaie? Apa itu?
***************************************************************
Qasidah bukanlah sesuatu yang baru padamu. Sejak tuan guru membuatkan engkau jatuh Cinta, syair-syair berupa pujian kepada Rasulullah menjadi minat barumu. Engkau beralih angin, dari pendengar tegar lagu nasyid kepada peminat setia qasidah. Masih segar lagi di ingatan, qasidah Muhammadiah merupakan qasidah pertama yang kau pelajari di bawah bimbingan tuan guru. Waktu itu, kau hanya mengikut-ikut sahaja, menyanyikan rangkap demi rangkap qasidah yang dicetak atas kertas putih tanpa sebarang minat. Di situlah kau berta'aruf dengan qasidah. Kemudiannya kau mula berjinak-jinak dengan variasi maulid.

Ada maulid al-Habsyi. Ada maulid simtud dhurrar. Ada maulid dibaie. Di rantau Nusantara, amalan bermaulid sangat mahsyur di Indonesia, di mana para ulama’ dan habaib mengepalai majlis maulid yang dianjurkan dalam skala besar-besaran. Jumlah hadirin yang ikut serta boleh menyaingi pengunjung konsert haram. Tua dan muda semuanya datang bertandang. Tidak kira cantik hodoh tinggi pendek kurus gemuk. Mahsyur sungguh mahsyur.

Memang benar engkau seorang pendengar setia, namun untuk berkecimpung secara langsung tidak pernah pun terlintas di fikiranmu. Takdir Allah, segalanya bermula dari SMS.

“Sheikh, enta kat mana sekarang ni?”
“Ana kat rumah..ape hal?”
“Free tak?”
“Insya Allah free. Apsal?”

Sekarang ni ade majlis selawat, tak jauh dari surau Zubair al-Awwam sebelah traffic light tu. Datang la...” getap bibir. Kotak fikiranmu ligat berputar sambil jari rancak menari atas keypad telefon bimbit, membalas sms tersebut: "Insya Allah =D"

Engkau sebenarnya keliru mempertimbangkan jemputan tersebut. Hendak dikatakan tiada kerja, mustahil. Hendak dikatakan ada urusan penting, tidak tepat juga. Akhirnya, kau mencapai kunci motor lalu bergegas keluar. “Majlis selawat? Majlis macam mana tu?” Persoalan tersebut bermain di fikiran tika motormu dipacu deras melintasi Sungai Putat.

Maulid Dibaie. Itulah titik mulanya.
***********************************************************
“Antara fadhilat menganjurkan majlis maulid dibaie di rumah adalah ianya dapat menghindarkan rumah daripada bala bencana. ” Matamu tertumpu pada buku catatan. Tanganmu menulis laju, cuba untuk mencatat setiap fakta penting yang dikongsikan oleh penceramah. Deria pendengaran dikerah 100% untuk menangkap ilmu.

“Selain itu, maulid ini juga sesuai dibacakan di rumah yang dihuni jin. Untuk halau hantu la katakan...” tutur sang penceramah sambil berseloroh. Kelihatan sesetengah ahli jemaah masjid tersenyum lebar. Kepalamu masih tertunduk, tidak sempat pun diangkat lantaran sibuk mencatat.

Sebetulnya, kuliah pada malam Rabu tersebut berkisar tentang kelebihan membaca maulid dibaie. Kuliah khas sempena bulan Rabiul Awwal yang mulia. Ustaz yang memberi ceramah menangguhkan seketika pengajian kitab selama sebulan bagi menceritakan serba-serbi tentang maulidur Rasul. Tentang kemuliaan malam kelahiran Nabi. Segala-galanya tentang Rasulullah S.A.W.

“Para ulama’ telah menyusun malam-malam yang mulia dalam Islam mengikut turutan. Ramai yang berpendapat bahawa malam Maulidur Rasul adalah malam yang paling mulia, jauh mengatasi kemuliaan malam Lailatul Qadar,”sambung ustaz itu lagi.

Engkau mengisar punggung, membetulkan kedudukan sambil cuba untuk menghilangkan rasa lenguh sendi dan tulang belakang. Mujurlah karpet masjid yang tebal sedikit-sebanyak membekalkan keselesaan kepadamu. Kuliah malam itu sangat istimewa bagimu, maka setiap fakta mesti kau catat. Mesti kau hafal. Mesti kau semat di hati untuk diamalkan dan disampaikan kepada yang lain.

“Kata ulama’ terdahulu, tidak dibacakan maulid dibaie melainkan Rasulullah hadir di dalam majlis tersebut,” tutur ustaz itu menangkap perhatianmu. Engkau membundarkan mata, sambil merenung wajah ustaz tersebut. “Rasanya pernah dengar ayat ni daripada ahli jemaah maulid dibaie...” kau berbisik sendirian. Kemudian, ustaz menghuraikan fakta tersebut serta mengemukakan dalil & riwayat. Catat. Cekatan kau mencatat. Terasa bagaikan buku itu akan penuh oleh tulisan pada malam itu juga. Memang ia satu kuliah yang istimewa. Kuliah yang penuh dengan futuh.

Rasulullah hadir?
************************************************************
Terapung-apung, Dalam awangan, kau merasakan dirimu dibawa angin lalu semuanya bertukar gelap. Apabila kau mencelikkan mata, kau telah berada di suatu majlis. Transisi dimensi yang pelik. Kau sedar kau bermimpi.

Kau menoleh kiri dan kanan. Kelihatan ahli jemaah maulid dibaie duduk bersila atas karpet. Mereka tersenyum ramah melihat kehadiranmu ke majlis tersebut. Tampaknya, sebentar lagi majlis selawat akan bermula. Mereka sudah bersiap sedia di posisi masing-masing.

Tika itu, kau masih lagi tercegat di muka pintu, dengan lagak sebagai seorang penyambut tetamu. “Betulkah Rasulullah akan hadir?” Engkau berdiri di sisi daun pintu, setia menjalankan tugas yang diberikan kepadamu. Beberapa orang tetamu yang tiba, kau sambut dengan senyuman manis bergula lalu mempersilakan mereka untuk mengambil tempat duduk masing-masing. "Selamat datang ke majlis selawat, hai orang-orang yang dipilih Allah!" seru hatimu kepada hadirin. Moga semua ketemu dengan Cinta.

Bila-bila masa sahaja majlis akan bermula, namun tetamu istimewa belum kunjung tiba. Ternanti-nanti engkau dibuatnya. Sedikit gelisah pun ada.
Betulkah Rasulullah datang?

Tiba-tiba, seorang pemuda tampan lagi segak melangkah masuk melalui pintu yang sedang kau jaga. Kau terpegun seketika melihat wajahnya.

“???”

***********************************************************
"Ya Allah, berilah minum kepada kami dari telaga Nabi-Mu Muhammad S.A.W. dengan minuman yang sedap dan lancar, yang kami tidak akan dahaga lagi sesudahnya, untuk selama-lamanya. Dan himpunkanlah kami di bawah benderanya esok, pada hari Kiamat kelak."

"Allahumma Solli wa Sallim wa Baarik 'Alaih..."dan majlis pun berakhir.

0 ulasan:

Catat Ulasan

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB