Pelik. Memang teramat pelik. Tak tertafsir dek akalmu yang pintar.
Kau mencintainya, biarpun tak pernah bertentang mata.
Kau ingin curahkan sepenuh kasih padanya, walaupun hanya mendengar tentangnya daripada lisan orang lain.
Lagi pelik, kau hanya mengenalinya setelah dia pergi !
Oh...inikah Cinta? Sungguh kau pelik duhai Cinta !! Cinta yang tidak mengenal sempadan tempat & masa, hatta ajal pun tidak mampu untuk menghijabnya.
Al-Maliki...Al- Maliki...Al-Maliki...
Adakah kau dilamun Cinta?
*********************************************************
Rembau. Setahu kau, itulah kali pertama kau menjejakkan kaki ke daerah tersebut. Kau tidak dapat melepaskan matamu daripada tingkap Tiara era 90-an tika ia sedang meluncur laju di jalan kampung yang bersimpang-siur. Rumah-rumah kampung, sesetengahnya dengan binaan Minangkabau memenuhi sisi jalan. Kehijauan alam menyejukkan mata. Suasana kampung yang mendamaikan jiwa.
Kau masih ingat lagi. Waktu itu cuti semester. Tidak pulang ke kampung & tak ingin juga membuang masa, lalu kau memutuskan untuk mengikut sahabatmu ke Rembau. ‘Ziarah keluarga angkat,’demikianlah menurutnya.
Negeri yang sememangnya terkenal dengan Adat Perpatih itu, juga terkenal dengan masakan lemak pedasnya. Di situlah kau berpeluang menjamah & melihat dengan mata kepala sendiri penyediaan masakan yang mengecurkan liur tersebut. Tuan rumah ternyata bijak mengambil hati melalui masakan.
Di situlah kau mula mendengar namanya. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. Cucu kepada tuan rumah yang juga kenalanmu sangat mengagumi tokoh tersebut. Pelbagai kisah mengenai beliau diperikan, namun kau pada masa itu belum mengenal Cinta. Lantas, jadilah kisah tersebut ibarat angin yang berlalu pergi. Kenal, tapi tak cinta kerana tiada Cinta.
Beberapa lama kemudian, dengan takdir Allah, kau aktif mengikuti program seorang sheikh yang terkenal di sana. Seorang anak watan, tapi sheikh tersebut memakai gelar al-Maliki. Apakah ini? Adakah beliau bermazhab Maliki?
Sheikh tersebut banyak menceritakan tentang tuan guru beliau: ’ Sayyid Muhammad lahir di Mekkah pada 1365H, merupakan anak kepada seorang ulama terkenal di Masjidil Haram iaitu Sayyid Alawi.’ Tidak cukup sekadar penceritaan manaqib, tuan sheikh kerap berkongsi tentang kelebihan tuan guru beliau. Dari situlah baru kau berminat untuk mengenali Sayyid Muhammad dengan lebih lanjut. Kisah-kisah khawarikul adat yang menunjukkan maqam seorang mukmin di sisi Tuhannya, menyuburkan kecintaanmu terhadap beliau. Lantas, keinginan untuk bertemu pun berputik. Namun, dapatkah kau bersua dengan beliau? Beliau di jazirah Arab, sedangkan kau?
*****************************************************************
...Kepintaran Sayyid Muhammad terserlah sejak kecil lagi. Bukan setakat hafal Quran, malah kitab Muwatto’ karangan imam Malik telah lekap di dada sebelum berusia 10 tahun. Pernah suatu ketika ayah beliau didatangi rombongan ulama’ dari benua Afrika untuk bertanyakan tentang permasalahan agama yang tidak kunjung selesai selama 23 tahun.
Khali.
Ayahnya diam seribu bahasa lalu memanggil Sayyid Muhammad. Sayyid Muhammad, sepertimana anak kecil lain yang normal, tengah bermain waktu itu. Beliau pun mampir dengan keadaan pakaian sedikit comot & tangan yang berlumpur, sebagai menjawab seruan ayahnya. Soalan pun diberi kepada anak kecil tersebut, dan hasilnya...persoalan 23 tahun selesai dalam sekelip mata!
*************************************************************
Malam itu malam Jumaat. Kau baru sahaja tiba ke bilik itu, usai sehari suntuk bermusafir. Kau renung setiap penjuru bilik. Lantai simen tanpa marmar menyebabkan kaki terasa berpasir. Tiada kipas siling yang tergantung. “Rumah zero furnished, patutlah sewa murah!” rungut hati kecilmu. Di luar tingkap, masjid kariah tersergam indah memancarkan cahaya. Alhamdulillah, kali ini kau berjiran dengan masjid.
Lantai yang berdebu, kau lapik dengan cadar untuk dijadikan alas tidur. Menurut hematmu, mustahil bilik itu dapat dikemaskan sendiri-sendiri. Lantas, kau memilih untuk merehatkan tubuh.
Bismika allahumma ahya wa amut...
Celik mata. Kau berada di sebuah majlis. Ya...majlis ilmu bersama alim ulama’ dan orang-orang soleh. Kau menoleh kiri dan kanan, meninjau seluruh ruangan bilik tersebut. Semua yang datang berpakaian serba putih. Baru kau sedar bahawa kau sedang duduk bersila di barisan hadapan, bersama wajah-wajah yang sangat asing bagimu. Kusyen sandar Arab yang menghiasi ruang tamu menonjolkan cara dekorasi Timur Tengah. Karpet tebal warna merah seolah-olah menghangatkan suasana ruang tamu.
Kau memandang ke hadapan. Para hadirin duduk teratur dalam soff, seolah-olah baru habis menunaikan solat. Mereka kumpulan manusia yang dahagakan curahan ilmu dari seorang ‘allamah serta pencinta taman-taman syurga. Al-‘allamah al-muhaddith Prof. Dr. Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki al-Hasani. Allah...Allah...beruntunglah bagi sesiapa yang pernah duduk semajlis dengan beliau.
Kau menyeluruhi wajah beliau, yang ketika itu duduk di sisimu. Benarlah bahawa Allah sememangnya melimpahkan nur pada wajah ahlul hadith lantaran kecintaan mereka kepada kalam kekasih-Nya, Muhammad S.A.W. Wajah beliau tenang lagi redup. Wajah yang mampu menghapus galau di jiwa. Dalam diam, hatimu berbunga kerana dapat duduk sebegitu hampir dengan kekasihmu. ~Bahagia ~
Dalam keriuhan majlis, Sayyid Muhammad cuba membisikkan sesuatu kepadamu. Kau pun mendekatkan telinga, cuba menangkap setiap butir perkataan yang terpacul dari bibir beilau.
“Na’am, na’am,”jawabmu sambil mengangguk. Entah bagaimana, engkau tiba-tiba memahami tutur bicara dalam bahasa Arab sedangkan engkau ibarat anak yang bertatih-tatih mempelajari bahasa syurgawi tersebut.
Celik mata lagi. Kini, kau berada di bilik. “Ya Allah...mimpi...”bisikmu kepada diri sendiri sambil merenung jam telefon bimbit. Hatimu masih lagi berbunga dek mimpi tadi. Kebahagiaan masih lagi terasa, seolah-olah engkau benar-benar telah bertemu beliau secara fizikal. Engkau tidak lupa mengucapkan hamdalah kepada Ilahi, kerana mempertemukan engkau dengan kekasihmu yang telah pergi sebelum kau sempat mengenalinya. Alhamdulillah...
Mimpi pagi Jumaat itulah yang akan kau kenang-kenang seumur hidupmu.
Persoalannya, apakah yang dibisikkan beliau kepadamu? Sungguh engkau lupa.
***********************************************
Pagi Subuh 15 Ramadhan. Tahun itu tahun 2004. Setelah azan Subuh berkumandang & solat Subuh didirikan di Masjidil Haram, tersebarlah berita kewafatan Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki. Beliau rebah diserang penyakit lalu dikejarkan ke hospital namun menghembuskan nafas terakhir beberapa jam kemudian. Khabar tersebar cepat. Anak murid beliau dari serata dunia berangkat ke Makkah untuk mensolatkan jenazah beliau serta memberi penghormatan terakhir. Makkah dibanjiri lebih 1 juta orang pencinta beliau ketika itu. Sesak sungguh sesak. Padat sungguh padat. Orang berebut-rebut untuk mengusung jenazah mulia seorang muhaddith yang tidak terbanding jasanya kepada umat Islam.
Ternyata, hari itu umat Islam kehilangan satu lagi butir permata yang amat bernilai. Sungguh, umat Islam menangis, namun tangisan tidak mampu mengembalikan mereka yang telah pergi.
Sayyid Muhammad Alawi al-Maliki..di mana 'kan ku cari ganti?
[12 Ramadhan 1342H]
Mazhab (Sosiologi) Pendidikan: Punca Kita Sukar Sependapat
2 hari yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan