MONOLOG :: JAUH

|

Malam itu tuan guru mendatangi mimpimu. Engkau merenung wajahnya yang redup. Terpancar nur saadah pada wajahnya yang masih basah dek wuduk. Guru itulah yang banyak membimbingmu. Ilmu yang dicurahkannya banyak memahamkanmu tentang urusan agama. Paling penting, di bawah bimbingan tuan guru itulah, engkau mengenal erti cinta Allah, cinta Rasulullah dan jua cinta Ahlul bait.

Sungguh, dialah yang membuatkan segala teori cinta yang selama ini kau hadam dengan akalmu, kini turun ke hati untuk dirasa lalu dihayati. Dialah yang menunjukkanmu ke wilayah Cinta, lalu kau pun cuba-cuba untuk masuk. Tanpa diduga, engkau tenggelam di dalamnya. Asyik.

“Anakku,” tutur tuan guru memecah lamunan. “Ustaz akan buat majlis habib pada hujung minggu ini. Ustaz memerlukan bantuanmu.” Kemudian, tuan guru membincangkan sesuatu dengan temanmu, yang ketika itu duduk di sisi. Fikiranmu menerawang lagi.

Matamu meliar ke sekitar dewan utama madrasah. Engkau terpesona melihat ukiran seni pada siling, yang dihiasi dengan gantungan chandelier sederhana besar di bahagian tengah. Kilauan marmar berwarna krim hazel pada lantai menambahkan lagi keindahan dewan itu. Sesekali hidungmu menangkap bau cat, menandakan dewan utama itu baru sahaja selesai dibina. Bangunan tiga tingkat itu mengambil masa lebih setahun untuk siap sepenuhnya.

Sebetulnya, perbincangan tengah hari itu berkisar tentang majlis perasmian madrasah yang turut dihadiri oleh alim ulama’ dan juga habaib. Bantuan? Bantuan apa diperlukan?

Engkau membunuh lamunanmu dan kembali mengikuti perbincangan itu.

*********************************************************

Tayar pesawat baru sahaja mencecah lapangan terbang. Perjalanan dua jam empat puluh lima minit terasa ibarat sesaat. Engkau cuba untuk merenung persekitaran luar, di sebalik tingkap pesawat yang kecil. Akhirnya engkau pulang juga, setelah hampir setahun berkelana di bumi orang.

Engkau meraba jaket dan bajumu, “alhamdulillah, kering.” Langit tidak semena-mena mencurah hujan sewaktu engkau dalam perjalanan ke majlis maulid dibaie tadi. Hampir engkau memberhentikan motor seketika untuk menyarung baju hujan. Namun, apabila mengetahui temanmu tidak membawa baju mereka, engkau batalkan sahaja niatmu itu. “Biar sama-sama basah,” begitulah ujar benakmu. Memang engkau sedar dan masih lagi waras ketika membuat keputusan nekad untuk pergi majlis tersebut, biarpun engkau tahu akan bahaya ketinggalan bas ke lapangan terbang tengah hari itu. Memang tidak sempat untuk ikut majlis hingga ke hujungnya, tapi apa salahnya kalau datang seketika untuk ambil berkat? Tambahan pula, bulan itu bulan Syaaban, bulan selawat menurutmu.

Engkau melangkah masuk ke balai ketibaan. Matamu melilau ke sekeliling, cuba mengesan sebarang perubahan yang terjadi di situ. Entah kenapa, engkau merasakan bumi yang baru kau jejaki itu agak asing padahal di situlah engkau dilahirkan dan dibesarkan. Engkau merasakan seolah-olah tidak punya apa-apa di situ, kecuali keluarga dan juga beberapa orang kenalan. Bumi yang gharib.

Usai menunaikan solat Jumaat pada minggu itu di Masjid al-Kauthar, engkau mengambil keputusan untuk menziarahi sahabatmu. Entah apa reaksi mereka melihat kepulanganmu. Gembira? Atau tiada emosi?

***********************************************************

“Penumpang pesawat AK5156 diminta untuk berbaris di pintu P1” suara wanita lunak-lunak lembut berkumandang melalui speaker, bergema melantun di sekeliling balai berlepas lapangan terbang.

Engkau menyambar beg sandang, menggenggam boarding pass beserta kad pengenalan kemas-kemas di tangan, lalu masuk ke dalam barisan. Pesawat merah berjalur putih sedang menanti tidak seberapa jauh dari hujung pintu berlepas. Kelihatan beberapa orang petugas lapangan terbang gigih melayan kerenah penumpang pesawat. Engkau akan berkelana lagi, dan entah bila akan pulang.

Setelah mengenakan tali pinggang di kerusi pesawat, engkau melayangkan fikiranmu jauh-jauh. “Biarlah fikiranku keluar dari tingkap pesawat dan mengembara di celah awanan biru” ujarmu sendiri. Perasaanmu bercampur baur. Sedih dan gembira serentak.

Sedih? Mengapa sedih?

Engkau tidak dapat menjelaskan mengapa kepulanganmu kali ini seolah-olah menjadikan dirimu family-man. Hubungan kekeluargaan tiba-tiba menjadi terlalu berharga dalam dirimu, hinggakan engkau berat untuk melangkah pergi. Mungkin ia sebahagian daripada proses kematangan fikiran. Melihatkan wajah ibu bapa yang semakin tua dimamah usia, sesekali syahdu menyerang emosimu. Yang engkau nampak hanyalah tanggungjawabmu di masa hadapan, terutamanya terhadap adik-beradik yang lebih muda berbanding dirimu. Makan minum. Pendidikan. Hanya Tuhan Maha Tahu akan beban tanggungjawab tersebut.

Mungkin juga engkau sedih, atau sebetulnya sesal sebab memandang enteng pada hubungan keluarga sebelum ini, lantas engkau memaksa dirimu berubah. Sepanjang kepulangan itu, engkau sempat menziarahi sanak-saudara di kampung. Kesempatan yang ada digunakan sebaiknya untuk bergaul dengan mereka. Walaupun singkat, tapi ternyata amat mengesankan. Pasca ziarah itulah engkau mula menyalahkan dirimu sendiri. “Mengapa aku jarang hubungi mereka?”getus engkau. Azam untuk berubah mula berputik di hati.

Engkau masih ingat lagi lambaian adik dan juga wajah redup ibu sewaktu menghantarmu ke lapangan terbang tadi. Pandangan yang berkaca-kaca, mungkin menahan sebak di hati. Bagimu, itulah pandangan terakhir sebelum engkau bermusafir. "Insya Allah, panjang umur akan bertemu lagi."pujukmu kepada hati yang sedang menangis dalam diam.

Gembira? Mengapa gembira?

Mimpi Subuh Jumaat yang lalu masih segar di fikiran.

***************************************************************

“Bantuan apa yang tuan guru perlukan?” Persoalan itu masih lagi menari-nari di benakmu. Apabila disedari, tuan guru sedang memandang wajahmu. “Anakku, ustaz perlukan kamu untuk membuat hebahan pada rakan-rakan kamu. Ajaklah mereka seramai yang mungkin ke majlis ni.” Engkau bersungguh mengangguk. Dengan posisimu sebagai seorang mahasiswa, tugas itu ternyata mudah. Apatah lagi dengan dorongan cinta yang mendalam, segala yang berat jadi ringan. Allahu !!

Engkau terjaga. Wajah tuan guru perlahan-lahan hilang dari pandangan, ditelan kegelapan malam. Kini, kau berada di bilik tidur dan bukan lagi di madrasah. Mimpi itu datang pada pagi Jumaat. Pagi sayyidul ayyam. Apakah takwilnya?

Masjid al-Kauthar. Engkau tiba agak awal hari itu. Usai berwudhu, engkau mengambil posisi di saff hadapan lalu memasang niat iktikaf. Kelihatan aneka ragam manusia di sekeliling dewan solat. Ada yang solat sunat. Ada yang membaca Quran. Ada yang khusyuk mengitar tasbih di hujung jari, beserta alunan zikir masing-masing. Tidak kurang juga yang tersandar di dinding masjid sambil melepas lelah. Terik matahari di luar kurang terasa dalam dewan solat, ditambah lagi dengan deru angin nyaman dari kipas angin dalam masjid.

Tanpa disangka, telefon mudah alih engkau bergetar semasa khatib menyampaikan khutbah Jumaat. Engkau seluk poket lalu melihat pada skrin telefon. Allah! Tuan guru sedang membuat panggilan!

Tidak semena-mena, kau dirudum rasa sebak. Inikah takwil mimpi pagi tadi? Allahu. Engkau jadi serba salah. Sambut atau biarkan sahaja? Perbezaan waktu solat antara Semenanjung dan Sabah menyebabkan mereka di seberang sana masih dalam persiapan menuju masjid, sedangkan khutbah sudah lama berlangsung di sini.

Engkau nekad untuk membiarkan sahaja telefon itu. Engkau simpan rapi dalam kocekmu, beserta janji untuk membuat panggilan balas kemudian. “Mungkin lepas ziarah sahabat petang ini,” demikianlah waktu yang engkau tetapkan.

Ziarah pada petang itu tidak seberapa memuaskan hatimu. Hanya beberapa orang sahaja yang engkau kenali di situ. Muka-muka yang engkau rindui tidak kelihatan. “Agaknya mereka ada urusan lain,” fikirmu sambil bersangka baik. Engkau cuba bergaul mesra dengan muka baru di sana, sambil bertanyakan khabar sahabat-sahabat yang lain. Pejabat itu kau tinggalkan dengan sedikit perasaan hampa. “Harap-harap dapat jumpa dalam program terdekat,”demikian harapanmu.

Kini, waktunya telah tiba. Engkau akan membuat panggilan kepada tuan guru. Jarimu terketar dalam menelusuri entri miss call, dek dikuasai perasaan gementar. Bagaimanakah engkau harus menjelaskan kepada tuan guru, menolak permintaan beliau dengan baik tanpa menyinggung perasaan beliau? Kepulangan itu menyebabkan engkau dan tuan guru dipisahkan oleh Laut China Selatan. Takdir Allah, memang bukan rezeki engkau untuk bertemu dengan habib serta alim ulama’ sebelum menjelangnya Ramadhan 1342H. Sesekali engkau terasa amat rugi, namun jauh sekali untuk menyalahkan takdir. Kullu minal habibi khoir, demikianlah madah para ariffin.

Butang panggilan ditekan. Tutt…tutt..
Engkau semakin gementar. Degup jantung semakin kencang tatkala engkau masih bertungkus lumus menyusun butir kata. Peluk dingin mula memercik membasahi dahimu. Angin laut yang bertiup lesu di celah-celah bangunan kedai usang tidak dapat mendamaikan kalbumu. Tutt..tutt…

Jauh. Sejauh Laut China Selatan.

*******************************************************************

Gembira? Salahkah bergembira?

Sungguhpun pesawat Boeing 737 masih meluncur laju di ruang udara Kepulauan Borneo, engkau mula merasakan kegembiraan yang menantimu di sana. Majlis ilmu, majlis orang soleh, majlis maulid dibaie dan macam-macam lagi. Semuanya menunggu di hujung permusafiran tersebut.

“Balik kampung” telah menghijabmu daripada mengecap segala kebaikan tadi. Ketiadaan kenderaan menyukarkanmu untuk bergerak aktif di kampung asal. Lantas, engkau tertinggal sekian banyak program.

Lebih teruk, engkau mula merasakan bahawa sahabatmu tidak ambil peduli tentang dirimu. Sukar untuk engkau bezakan, adakah perasaan itu berpunca daripada hasutan syaitan atau memang itulah realiti yang sedang menimpa dirimu. Kehadiran ataupun ketiadaan engkau di situ tidak membawa sebarang perbezaan. Kewujudanmu tidak signifikan. Pelbagai persepsi negatif mula menerpa fikiran.

Pernah seorang sahabat menggesamu untuk menjadi lebih agresif. Engkau yang sudah lemah semangat, hanya mampu menjawab “Aku telah berusaha sedaya mampu.” Menurut hematmu, sebenarnya engkau memerlukan seorang teman yang setia untuk terus berjuang di tempat asal. Seorang teman yang tidak jemu untuk berada di sisimu, meniupkan semangat juang agar terus segar di sanubari. Keperitan berjuang menjadi kurang andai tanggungjawab itu dipikul bersama. Entah kenapa engkau rasa keseorangan di situ. 'Ajib !

Akibatnya, engkau jadi lalai. Engkau menemui kesukaran untuk khusyuk dalam setiap ibadah yang dilakukan. Sebaliknya, engkau lebih dekat kepada perkara lagha. Banyak makan dan banyak tidur menyebabkan keadaan bertambah teruk. Kini, engkau bergelumang dosa. Engkau sememangnya sedar bahawa hatimu bertambah gelap, hari demi hari. Noda hitam, ataupun dikenali sebagai zulumat menebalkan hijab cahaya dalam hatimu. Berkali-kali engkau mengucap taubat, namun ia tidak bertahan lama.

Jauh. Sungguh engkau jauh dari Tuhan.

****************************************************************

Mudah-mudahan permusafiran ini mengundang seribu satu kebaikan. Menjadikan yang JAUH kepada DEKAT. “Ya Allah…janganlah engkau menjauhkan daku dari rahmat-Mu. Saksikanlah bahawa hamba-Mu ini bermusafir dengan niat untuk kembali kepada-Mu !” Amiin..

0 ulasan:

Catat Ulasan

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB