Switzerland haramkan bina menara masjid

|

"Mula-mula mereka minta kebenaran untuk membina menara masjid, kemudian mereka menuntut pelaksanaan syariah. Andai perkara ini diluluskan dari segi undang-undang, orang Islam akan lebih berani untuk meminta lebih pada masa akan datang."

Itulah komen yang diberikan oleh seorang rakyat Switzerland yang keluar mengundi. Parti Rakyat Swiss (SVP) yang berhaluan kanan menganjurkan undian untuk melarang pembinaan menara masjid. Mereka sanggup mengumpulkan 100,000 tandatangan daripada pengundi layak dalam tempoh 18 bulan semata-mata untuk medesak undian itu berlangsung.

Tuduh SPV : menara masjid tidak mempunyai ciri-ciri seni bina yang ada kaitan dengan agama, tetapi sebaliknya melambangkan ‘tuntutan keagamaan-politik terhadap kuasa, yang mencabar hak asasi asas. SVP yang berkempen dengan poster menunjukkan seorang wanita memakai burqa dengan latar belakang bendera kebangsaan bersama beberapa menara berbentuk peluru berpandu, telah mencetuskan berang, lantas mendapat kritikan daripada Suruhanjaya Menentang Perkauman Switzerland. Suruhanjaya itu mengatakan kempen tersebut menghina golongan minoriti Islam di negara itu. Lantas, kerajaan menggesa rakyat menolak kempen itu kerana ia menyebabkan salah faham di luar negara di samping merosakkan imej negara.

Poster kempen SPV

Namun undian masih diteruskan.
Hasilnya - 57.2% menyokong larangan tersebut, keputusan undi yang mengejutkan dunia kerana sebelum ni negara Swiss tersebut dikenali dengan sifat neutral dan kebebasan mengamalkan agamanya.

Bagi saya, kalau betul dakwaan 'neutral dan bebas beragama' maka sudah tentu terdapat sesuatu skandal di sebalik semua ni, sepertimana kata menteri luar Perancis, Bernard Kouchner. Beliau menganggap warga Switzerland tidak bersikap toleransi selepas keputusan itu didedahkan, sambil menambah keputusan undi itu sebagai negatif kerana ia seolah-olah perbuatan menindas agama.

Hasil undian akan menyebabkan larangan itu kini akan dimasukkan dalam Perlembagaan negara berkenaan. “Majlis Persekutuan (kerajaan) menghormati keputusan itu. Justeru selepas ini menara masjid tidak dibenarkan dibina lagi di Switzerland,” kata kerajaan.

Amnesty International menyifatkan larangan itu ‘mencabul kebebasan beragama dan tidak sesuai dengan perjanjian yang ditandatangani Switzerland.’ Switzerland hanya mempunyai empat masjid dan menaranya tidak dibenarkan menyampaikan azan.

Parti Green bercadang membuat aduan kepada Mahkamah Hak Asasi Kesatuan Eropah di Strasbourg kerana tindakan itu mencabul kebebasan beragama seperti yang dijamin oleh Konvensyen Eropah mengenai Hak Asasi Manusia.

MODEL menara masjid diletak berdekatan lilin dan sepanduk membawa maksud 'Ini bukan Switzerland saya' dilihat di kawasan medan Bundesplatz, Bern sebagai tanda membantah kelulusan mengharamkan pembinaan menara masjid.

Di Maghribi, seorang Ahli Parlimen Parti Islam Keadilan dan Pembangunan terkejut dengan keputusan Switzerland itu.

“Saya berpendapat Muslim Switzerland dan mereka yang tinggal di negara Eropah, perlu berusaha lebih keras bagi menunjukkan lebih banyak toleransi,” kata Saad Eddine Othmani.

“Keputusan itu petanda rakyat Switzerland membenci Muslim. Mereka tidak mahu lihat orang Muslim ada di negara mereka dan kebencian amat sangat ini punca mereka tidak boleh bertolak ansur,” kata Maskuri Abdillah, ketua kumpulan terbesar Muslim di Indonesia, Nahdlatul Ulama.

Beliau menggesa orang Islam membalas dendam terhadap keputusan itu dengan apa cara sekali pun. Mufti Mesir, Ali Gomaa turut mengutuk larangan itu dan menyifatkannya menghina Muslim di seluruh dunia.

“Cadangan ini saja bukan saja mencabul kebebasan beragama, tapi juga cubaan untuk menimbulkan kemarahan masyarakat Muslim di dalam dan luar Switzerland,” katanya yang dipetik agensi berita rasmi Mesir.

Switzerland mempunyai hubungan tidak selesa dengan penduduk Muslim, yang mewakili lima peratus daripada 7.5 juta penduduknya. Islam adalah agama kedua terbesar di sini selepas Kristian.

Sebuah masjid di Geneva diganggu tiga kali ketika kempen antimenara itu, lapor media tempatan.

Bagi kira-kira 400,000 masyarakat Muslim di sini, ‘apa yang paling menyakitkan bukan sekadar larangan bagi pembinaan menara itu, tetapi mesej simbolik yang dihantar dalam bentuk undi.’

“Masyarakat Muslim terasa mereka tidak diterima di sini,” kata Farhad Afshar, yang mengetuai penyelaras pertubuhan Islam di Switzerland.

~[ maaf sebab tak dapat hurai maklumat. Entri kali ni merupakan cantuman daripada berita selama beberapa hari]~

0 ulasan:

Catat Ulasan

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB