Assalamu'alaikum warahmatullah kepada semua pembaca yang dirahmati Allah sekalian.
Huh...rasanya agak lama sudah saya tidak menulis entry blog dengan ayat-ayat sendiri. Al-maklumlah, semenjak dilanda kesibukan yang tidak dikenal pasti puncanya, saya agak jarang blogging. Kalau ada pun, mesti copy paste dari sumber-sumber lain. Hehe..
Isu ini agak panas jugalah bagi saya. Mungkin isu ni tidak masuk dalam berita utama & saya pasti ramai yang tidak tahu. Namun, bagi saya, selaku seorang yang mempunyai sedikit ilmu & pengalaman berasa agak terpanggil untuk mengulas sedikit sebanyak mengenai isu ini.
Penting untuk para pembaca sekalian tahu, bahawa ulasan ini tidaklah ditulis berdasarkan emosi, bukan juga atas sifat fanatik atau apa-apa sahajalah yang tidak ilmiah. Ulama alawiyyin yang terkenal, al-Allamah al-musnid Habib Umar bin Salim al-Hafidz telah dihina dalam sebuah forum di Malaysia baru-baru ini. Yang sedihnya, penghinaan tersebut dilakukan oleh seseorang yang dikatakan mempunyai fikrah (fahaman, pemikiran) Islam.
Saya pun tidak pastilah dari mana dia mendapat sumber cerita ini, atau suka saya gunakan istilah "fitnah" ini. Seperti yang dikatakannya, Habib Umar konon-kononnya dibawa masuk ke Malaysia oleh pihak lawan dengan tujuan memecah-belahkan kesatuan parti politik. Para pejuang Islam katanya, hanya diajak untuk berzikir menyucikan hati lantas meninggalkan perjuangan menegakkan Islam.
Bagi saya, penulis forum ini seolah-olah menyatakan Habib Umar sama tarafnya dengan Snouck Hugronje. Saya pernah menyentuh mengenai kisah si munafiq Snouck Hugronje dalam penulisan saya terdahulu yang menyentuh isu orientalis (boleh rujuk sini). Rasanya para pembaca sekalian pasti sudah maklum mengenai kisah Snouck, ataupun nama "Islam"nya Abdul Ghaffur. Kisah mengenai beliau yang pura-pura memeluk Islam, menukar nama kepada Islam, mengkaji pasal Islam, melanjutkan pengajian ke al-Azhar sehingga berjaya menjadi seorang "syeikh" di sana, kemudian datang ke Indonesia untuk melemahkan kekuatan umat Islam di sana melalui penganjuran zikir-zikir tertentu hingga akhirnya menyebabkan Indonesia jatuh ke tangan Belanda, disebabkan lemahnya penentangan orang Islam. (apa tidaknya, masing-masing sibuk berzikir?)
Sejauh mana kebenarannya?
Mengikut pengalaman saya, selama saya duduk mengikuti majlis bersama ulama' Alawiyyin, tidak pernah ada satupun yang menganjurkan zikir sahaja. Intipati ceramah mereka adalah mengenai hubungan manusia dengan Allah & Rasulullah, akhlak yang mulia dan sebagainya. Boleh dikatakan pengisian ceramah mereka sama konteksnya dengan ceramah ustaz-ustaz lain di Malaysia, yang mana mereka mengajak manusia kembali kepada agama. Cuma yang menjadi perbezaannya, yang menjadikan ceramah ulama' Alawiyyin ini lebih menarik adalah sebab kemahiran mereka menyentuh hati audiens. Ceramah mereka menyedarkan. Menginsafkan. Malah ada sampai ke tahap membuatkan para pendengar menangis. Rasa-rasanya berapa ramai penceramah di Malaysia yang boleh membuatkan pendengar menangis teresak-esak?
Pengalaman saya bersama Habib Umar al-Hafidz dalam sebuah majlis ilmu, saya berasa terkejut kerana melihat betapa ramainya pengunjung yang hadir. Baitul Qurra' dibanjiri manusia pada hari tersebut. Ada yang datang dari Melaka (tempat tuan rumah), negeri berdekatan seperti Johor & Kuala Lumpur, malah ada yang sanggup datang dari Perak semata-mata untuk bersama ulama' ini. Saya menyaksikan dengan mata kepala sendiri, bagaimana ceramah habib Umar membuatkan sejumlah besar audiens menangis, termasuklah tok sheikh yang datang entah dari mana. Mudir madrasah agaknya...wallahu'alam.
Yang penting, saya tidak pernah pun mendapat fikrah@pemahaman baru, iaitu zikir sahaja tanpa perlu berjuang menegakkan Islam. Malahan, jauh lebih hebat daripada itu, saya dapat memahami cinta Rasulullah berkat bimbingan ulama' tersebut, biarpun pertemuan tersebut biasanya tidak lama. Pendekatan dakwah yang lembut menyentuh hati amat mengesankan jiwa saya, berbanding kaedah tengking herdik maki-hamun & mencaci. Bukankah itu jua kaedah dakwah yang digunakan Rasulullah, iaitu lunak & lemah lembut?
Tolong ceritakan pada saya, apakah dorongan utama anda untuk berjuang menegakkan Islam?
Adakah sebab cintakan Allah & Rasulullah?
Ataupun sebab-sebab lain?
Sukakah anda kalau saya memberitakan satu kaedah untuk mencari cinta kepada Allah & Rasulullah?
Sedikit imbas kembali...
Kenyataan pemimpin gerakan Islam tersebut mengingatkan saya mengenai suatu peristiwa..
Masa peristiwa tidak diketahui..
Yang saya ingat, waktu itu, saya mengikuti kuliah dhuha Ustaz Zulkefli Haji Ismail di Baitul Qurra'.
Tidak semena-mena ustaz Zul meninggikan suara dalam ceramah beliau, membuatkan saya yang sedang mencatat ilmu di buku nota sedikit tersentak.
"Enta cium tangan habib banyak-banyak, nanti enta tinggalkan perjuangan.."Siapa yang celupar mengeluarkan kenyataan begini? Enta kena ingat, habib tu bukan sebarang orang. Mereka tu anak cucu Nabi !! Kenyataan enta seolah-olah mengibarkan bendera perang kepada Nabi !!
Habis tu, macam mana dengan perjuangan kita kalau kita tak buat berdasarkan perjuangan Nabi? Ana ajak habaib ke Melaka ni supaya kita boleh belajar adab-adab mulia daripada mereka.
Para habib (kata jamak : habaib) adalah orang yang ikhlas, zuhud, tawadhu' dalam berdakwah. Ana pernah cuba bagi upah pada mereka, namun mereka enggan menerima. Mereka datang dari jauh (Yaman) ke Malaysia untuk berdakwah, atas duit sendiri. Tidak pernah meminta walau satu sen sekalipun !!
Demikianlah sedikit sebanyak pengalaman saya untuk dikongsikan. Di akhir penulisan ini, ingin saya simpulkan bahawa dakwaan orang tersebut hanyalah fitnah semata-mata. MUNGKIN..ingin saya tegaskan sekali lagi, MUNGKIN memang ada yang futur disebabkan asyik berzikir & kebetulan peminat majlis habaib, tapi majlis habaib tidak wajar dipersalahkan atas sebab kefuturan tersebut. Saya kata, itu silap mereka sendiri. Bukan salah ulama 'Alawiyyin.
Yang penting, satu fakta yang kalian wajib pegangi, golongan habaib (anak cucu Nabi S.A.W) turut berjuang menegakkan Islam. Melalui wadah apa? Melalui wadah ilmu. Melalui majlis-majlis ta'lim. Mungkin pada saat membaca perenggan ini, ada yang terfikir :"Mengapa mereka tidak join politik? Non-partisan? " Hah...pasal tu, kalau ada masa rajin-rajinkanlah membaca. Rujuk sejarah. Banyak darah anak cucu Nabi S.A.W yang tumpah gara-gara mengikuti politik. Disebabkan banyaknya keistimewaan dimiliki oleh anak cucu baginda, mereka sering menjadi sasaran pendengki. Lantas, pembunuhan berlaku. Contoh paling mudah, peristiwa Karbala. Selepas itu, anak cucu Nabi mengambil sikap berkecuali dalam politik.
Satu persoalan - adakah mereka anti-politik sedangkan Islam yang syumul turut mengandungi bab-bab siasah(politik) ? Jawapannya TIDAK. Huraian daripada kitab Tahrid 'ala Jihad fi Islahil Bilaad wal 'Ibaad, tidak salah bagi seseorang untuk bersikap non-partisan dalam siasah & hanya menyampaikan ilmu Islam, asalkan bila tiba kewajipan untuk memilih pihak pemerintah, dia wajib untuk memilih pemerintah yang memperjuangkan Islam.
Akhirul kalam, semoga para pembaca memperoleh manfaat daripada penulisan ini. Maaflah kalau agak panjang. Bukan niat saya untuk berleter...hehe..Sebarang feedback amat dialu-alukan.
Wallahu'alam.
Glosari ringkas :
- Alawiyyin : Keturunan Nabi S.A.W; anak cucu Nabi
- Habib/ habaib(kata jamak) : Gelaran kepada anak cucu Nabi
- al-Allamah : Gelaran kepada seorang ulama' yang amat alim; ulama' yang tinggi ilmunya
- al-musnid : Gelaran kepada ulama' yang berjaya menghafal 100 ribu hadis beserta sanad & matannya
- siasah : politik
- non-partisan : sikap berkecuali
- fikrah : pemahaman, pemikiran
0 ulasan:
Catat Ulasan