Masa anda telah tamat ~ kata2 itu timbul dalam benak mengenangkan cuti saya yang bakal berakhir dalam tempoh 2 hari lagi.
Sepi. Jiwa kosong.
Walau apapun pengisian saya di kala cuti, 2 perasaan ini mesti hadir. Adakah ianya manifestasi keengganan saya untuk melepaskan pemergian sebuah CUTI?
Pagi ni adik saya sudah kembali ke asrama. Kembalilah saya menyendiri di bilik ni, walaupun pada asalnya saya lebih gemar duduk sendirian. Kesepian mula bertandang...
Segalanya tampak kembali ke keadaan asalnya ~ sebuah rumah yang semakin kosong lantaran penghuninya bertebaran mencari ilmu. Akhirnya, tinggallah ibu dan adik bongsu saya. Jarang2 rumah ni dihias keceriaan dan hiruk-pikuk sepertimana dahulu, sungguhpun musim CUTI sedang berlangsung.
Di kala kesepian inilah saya banyak berfikir...
Terkenangkan program KRIS(Kem Remaja Islam) yang baru sahaja berlalu Khamis lalu.
Penganjurannya yang ke 4 menyaksikan penyertaan sebanyak 370 peserta dari serata sekolah daerah Tawau, lebih 100 daripadanya adalah muslimin.
Suka duka, pahit manis sepanjang berprogram akan menjadi satu lagi kenangan terindah buat saya.
Teringat lagi bagaimana saya bergabung tenaga dengan seorang sahabat, Azlan Sakka untuk menguruskan LDK. Gandingan kami agak pelik, kerana kami berkongsi kelemahan yang sama, iaitu kelemahan mengatur bicara. Bukankah team mate kita sepatutnya berfungsi sebagai pelengkap kita? Apa-apapun, kami seronok bekerjasama.
Program islamik sebegini sering menjadi 'teropong' saya untuk merenung keadaan generasi kini, sungguhpun para peserta yang hadir tidaklah mewakili keadaan seluruh masyarakat Tawau.
Memang ramai yang menjadi mangsa arus sekularisme. Kejahilan masih melata sungguhpun terdapat subjek Pendidikan Islam di bangku sekolah. Adakah ia sekadar teori tanpa praktikal? Dengan bantuan Azlan, kami seronok menjadi fasilitator kumpulan 1(betik/Cecia.spp)yang gigih menuntut ilmu (walaupun ada yang lembik tidak bermaya).
Saya percaya gabungan karakteristik peserta menjadikan setiap LDK unik dan menarik untuk diselami. Kumpulan saya telah memenangi Malam Kesenian Islam melalui cerita seorang pondan yang insaf, hasil gabungan idea mereka sendiri tanpa penyeliaan kami. Memang, proses dakwah adalah proses menyelami isi hati mad'u sepertimana yang dikatakan oleh fasilitator yang lebih senior.
Sesi lambaian ukhuwah agak menyentuh hati. Dabs, nama gelaran ketua kumpulan, tanpa disangka-sangka menitiskan air mata terharu dalam dakapan perpisahan kami. Masih segar lagi di ingatan tentang masalahnya yang tidak tahu mengaji. Selama ni, dia belajar al-Fatihah hanya melalui pendengaran - cabaran besar untuk kami memperbetulkan bacaan Fatihahnya. Menjelang perpisahan, kami tidak henti-henti berpesan agar dia mencari guru mengaji di kampungnya. Mudah-mudahan keinginannya tercapai. Ameen...
Sunyi..
Sepi..
Bukan khali..
Bukan juga abadi..
Di kala saya memikirkan kesudahan posting yang kian meleret ni, saya teringat pada sesetengah sahabat saya yang memilih GURU sebagai profesion mereka. Masa yang berlalu banyak merubah keadaan. Dulu, kami teman bermain. Kini, mereka guru bagi sekolah sekian-sekian. Kelibat penasihat am, yang juga merupakan seorang guru tidak lagi kelihatan. Beliau telah beralih ke peringkat yang lebih tinggi. Jelaslah, kini telah tiba peranan generasi pelapis untuk mengemudi bahtera perjuangan di bumi Tawau, satu perjuangan yang belum selesai...
Andai Anak Anda Sendiri Melakukan Protes di Kampus USA dan UK
6 bulan yang lalu
0 ulasan:
Catat Ulasan