Di tebing jurang mutassaqit (bhgn 2)

|

Malam itu A dikelilingi anak-anak muda. Melihatkan wajah mereka yang dahagakan pengisian agama, dia terharu. Usaha mendidik & membentuk jiwa Islami cuba digalas dengan sebaik mungkin, sungguhpun kini dia terkapai-kapai tanpa input. Tanpa input, bagaimana menghasilkan output? Bukan mudah mendidik manusia.

Sesekali, A terkenang pada seorang tokoh. Namanya harum mewangi dalam lipatan sejarah Turki. Kegigihannya dalam mencari lalu membentuk jiwa-jiwa Islam cukup memberi inspirasi kepada setiap pendidik pasca 1924. Tatkala tangan-tangan jahat sekularisme mengetuk setiap pintu rumah umat Islam Turki, beliaulah yang berusaha menyelamatkan anak-anak muda daripada hanyut dibawa arus duniawi, lantas mengusir sekularisme ibarat anjing kurap daripada hidup mereka.

Suleyman Hilmi Tunahan. Penghormatan A terhadap tokoh ini bukanlah semata-mata kerana gelaran sayyid ataupun sharif yang dimiliki beliau, lantaran nasab beliau yang bersambung dengan Rasulullah s.a.w. Akan tetapi semangat kental dalam mendidik yang mendorong penghormatan tersebut.

Katakan sahaja di mana. Kereta api? Teksi? Bas? Kebun? Semuanya menjadi tempat buat Suleyman hoca mencurahkan ilmu. Halangan dari pemerintah pimpinan Mustafa Kamal Attaturk mendorong beliau membawa anak muridnya bersiar dalam pengangkutan awam untuk pengajian Quran.

Suleyman hoca juga sering berkitar di pasar sambil menanyakan buruh yang wajar,’Beritahu aku duhai anak berapa yang kau mahu?’, ‘Satu lira memadai untuk hari ini’, ‘Mari ikut bersamaku untuk mempelajari Quran dan agama Islam, aku akan beri kamu 3 lira’.


Suleyman hoca. Suleyman Hilmi Tunahan…

Seakan-akan memahami keinginan hati yang mendesak, insan yang dirindui A muncul dalam lelap. Lelaki itu menyambutnya dengan senyuman di pintu madrasah.Mereka berdakapan. Ternyata ia sebuah pertemuan bermakna antara guru dengan anak muridnya. Di dalam, kelihatan beberapa kelibat insan sedang khusyuk menekuni kitab, di bawah bimbingan lelaki itu.

Pertemuan itu memang tidak lama. A terjaga daripada tidur. Dadanya terasa sebak menanggung rindu. Tanpa disedari, mata A bergenang. Sungguh, lelaki yang muncul dalam mimpi itu banyak mencurahkan ilmu kepada A. Dia sangat merindui tunjuk ajar seorang mu’allim seumpamanya. Seorang ustaz, seorang hoca

Dalam simpuhan sesudah tahajud malam itu, A menadahkan tangan kepada Yang Maha Kuasa. Lama dia bermunajat, mengharapkan agar Tuhan menemukannya dengan seorang mu’allim, dipermudahkan jalan mengikuti majlis ilmu. Semoga dengan proses islah tersebut akan meluruskan apa jua yang bengkok dalam diri dan memberi kekuatan untuk terus memikul beban dakwah agar tidak menjadi golongan mutassaqitun.

Benarlah ilmu itu umpama hujan yang dinanti-nantikan di tanah tandus. Tanah tandus milik A. Ia menghidupkan hati yang gersang dengan curahan cahaya dari langit. Hanya hati yang terang sahaja dapat membezakan haq dengan batil, lantas menuntun jiwa dalam meredah arus duniawi. Sementalahan jiwa yang tidak terbimbing akan hanyut. Kalau tidak diselamatkan, dibimbangi jiwa tersebut akan hanyut ke neraka. Na’uzubillah.

* hoca : Secara mudah, ia bermaksud guru (bahasa Turki)
* Untuk info yang lebih lanjut mengenai Suleyman Hilmi Tunahan, bolehlah rujuk sini.

~[Watak A hanyalah rekaan semata-mata. Fiksyen]~

0 ulasan:

Catat Ulasan

©2009 .:[Biarlah pena mewakili bicara]:. | Template Blue by TNB